I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, May 12, 2010

Perutusan Ketua Pengarah

Assalammualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu saya mengalu-alukan pengunjung laman blog Jabatan Pertahanan Awam. Blog ini telah direka bertujuan untuk memberikan seberapa banyak pendedahan dan pengetahuan mengenai Jabatan Pertahanan Awam terutamanya aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh jabatan. Laman web ini juga bertujuan memberikan pengetahuan kepada orang awam mengenai ilmu pengetahuan pertahanan awam khususnya yang berkaitan dengan pengurusan bencana dan kecemasan.

Para pengunjung yang saya hormati, seperti yang kita maklumi, negara kita adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun. Pertumbuhan ekonomi yang pesat telah merubah struktur sosial dan juga demografi penduduk. Pusat-pusat pertumbuhan baru tumbuh di merata-rata tempat samada di kawasan rata maupun di lereng-lereng bukit dan tidak kurang juga yang tinggal di kawasan setinggan yang padat dan sempit. Dari segi pekerjaan pula selain bekerja di pejabat dan berniaga tidak kurang juga yang bekerja di kilang yang menggunakan pelbagai jenis jentera. Jalanraya kita pula penuh sesak dengan kenderaan pelbagai jenis dan pejalan kaki.

Dalam situasi seumpama ini, kita tidak dapat mengelak pelbagai kemalangan sehingga mengorbankan nyawa boleh berlaku. Melalui akhbar-akhbar kita sering melihat tragedi kemalangan yang menyayat hati. Kebakaran, kemalangan di tempat kerja dan kemalangan jalan raya sudah menjadi sesuatu yang lumrah di negara kita. Banyak nyawa dan harta benda yang terkorban akibat daripada perbuatan dan kelemahan kita sendiri. Bencana alam seperti banjir, ombak besar tsunami dan tanah runtuh juga semakin menjadi satu fenomena yang biasa. Ramai mangsa yang terlibat selain kemusnahan harta benda. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita sewajarnya tidak mendiamkan diri apabila berhadapan dengan bencana dan situasi kecemasan yang mengancam nyawa dan harta benda lebih-lebih lagi sekira ianya terjadi ke atas ahli keluarga dan jiran tetangga kita. Dalam hal ini selain kesanggupan untuk membantu kita juga perlu memperlengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu menyelamat dan kecemasan.

Kami di Jabatan Pertahanan Awam bersedia untuk memberikan pelbagai jenis latihan menyelamat dan kecemasan kepada segenap lapisan masyarakat daripada kanak-kanak tadika sehinggalah warga emas. Hubungilah kami pada bila-bila masa samada melalui telefon, surat atau e-mail jabatan atau terus datang ke pejabat kami yang berdekatan untuk mendapatkan keterangan lanjut. Ingatlah bahawa keselamatan kita adalah tanggungjawab kita semua.

Selamat melayari lamam web rasmi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia...

Sekian dari saya. Wassalam.

Yang Berbahagia Dato' Hj. Abdul Halim bin Abd Hamid
Ketua Pengarah

0 comments:

Post a Comment